Dalam kejadian pukul 10.15 malam itu, mangsa, Muhammad Haikal Hakimi Mohd. Noor, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Serdang Baru dan Mohamad Haziq Ishak, 17, yang merupakan pembantu kedai tertimbus dalam runtuhan sedalam 0.3 meter di bahagian kepala jambatan berkenaan.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Barudin Wariso berkata, Muhammad Haikal Hakimi dan Mohamad Haziq dari Kampung Leret di sini dikatakan tidak menyedari berlaku mendapan di tebing Sungai Serdang ketika motosikal dinaiki mereka melalui jambatan berkenaan.

“Mayat Muhammad Haikal Hakimi ditemukan dan dikeluarkan pada pukul 12.15 tengah malam manakala mayat Mohamad Haziq dikeluarkan lima minit kemudian. Jenazah mereka dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Mohd. Faiz Helmi, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan terdapat penunggang dan pembonceng motosikal tertimbus dalam mendapan tanah.

“Kami terpaksa menggunakan cangkul bagi menggali kawasan runtuhan sebelum kedua-dua mangsa berjaya ditemukan dan dikeluarkan,” katanya.

Dalam pada itu, bapa Moha­mad Haziq, Ishak Abdul, 56, berkata, kali terakhir dia bersama anak kelima daripada enam ber­adik itu pada pukul 9 malam untuk keluar makan malam.

“Kami berempat termasuk isteri, Zuhainon Salim, 54, serta anak bongsu, Siti Nur Adawiyah, 16, sudah berada dalam kereta untuk keluar sebelum Haziq memarahi adiknya kerana menutup pintu kereta dengan kuat sehingga terkena ibu jarinya.

“Akibatnya, Haziq merajuk lalu enggan keluar lagi. Saya percaya dia keluar dengan rakan baiknya, Haikal selepas itu. Memanglah saya terkilan tetapi perkara nak jadi, saya reda,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik HSB hari ini.

Menurut Ishak, kedua-dua remaja tersebut sudah berkawan rapat sejak beberapa tahun lepas setelah keluarganya berpindah ke negeri ini dari Terengganu.

“Haziq seorang anak baik dan banyak membantu isteri saya yang mengusahakan perniagaan keropok lekor,” katanya.

Dalam pada itu, menurut bapa saudara Muhammad Haikal Hakimi, Saharudin Ismail, 56, kematian anak yatim itu memberi kesan mendalam kepada keluarga mereka terutama ibunya, Norihan Che Doh, 48.

“Haikal merupakan anak tunggal dan harapan ibunya yang me­rupakan ibu tunggal. Kehilangannya pasti terasa apatah lagi arwah bakal menduduki peperiksaan Siil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” katanya.