Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Saifi Abd. Hamid berkata, dalam kejadian pertama, seorang petugas Petronas Fertilizer (Kedah) Sdn. Bhd. maut setelah motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggangnya merempuh belakang kereta Proton Viva yang berhenti di lorong kecemasan akibat tayar pancit.

“Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.20 malam di Kilometer 94.9 arah selatan, di sini. Akibat kejadian itu, mangsa, Shahrizan Abd. Aziz, 40, mengalami kecederaan serius di kepala dan kaki kiri.

“Mangsa sempat dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan. Namun pihak hospital memaklumkan, mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 3.20 pagi di zon merah, Jabatan Kecemasan HSAH,” katanya.

Sementara itu katanya, kemalangan kedua berlaku pada pukul 10.37 di Kilometer 103.3 PLUS arah Selatan.

“Dalam kejadian itu, mangsa, Syful Izwan Roslan, 30, maut di lokasi kejadian setelah motosikal jenis Honda Wave ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan bagi memeriksa muatannya.

“Mayat mangsa yang berasal dari Mengkuang Semarak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kemudiannya dibawa ke Unit Forensik HSAH untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE