Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, mangsa, Rosley Jantan, 64, dan Ab. Rahman Mat, 47, yang masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC disahkan meninggal di tempat kejadian, sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden A. Asmadi Abd. Aziz berkata, keadaan jalan di tempat kejadian adalah jalan berselekoh.

“Siasatan awal dipercayai pemandu lori memasuki laluan mangsa lalu berlanggar secara depan dengan depan. Mangsa-mangsa penunggang motosikal meninggal di tempat kejadian, manakala pemandu lori ditahan di balai bagi membantu siasatan polis,” katanya ketika dihubungi. - UTUSAN ONLINE