Dalam kejadian kira-kira pu­kul 10.15 malam itu, mangsa, Muhamad Nurhakim Shahrunnizar, 16, dan Mohamad Redzuan ­Mazlan, 17, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal iaitu Mohd. Zulhanif Saari luka pada bahagian kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Abdullah Arshad ber­­kata, siasatan awal mendapati Muhamad Nurhakim yang datang dari arah Ekor Kuching telah bertembung dengan dua motosikal lain yang datang arah bertenta­ngan dari arah Padang Serai.

“Akibat pelanggaran itu, Muhamad Nurhakim dan Mohamad Redzuan maut di tempat kejadian.

“Siasatan lanjut turut mendapati pelajar berusia 16 tahun itu tidak mempunyai lesen dan ketiga-tiga mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu juga tidak memakai topi keledar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdullah, kedua-dua mangsa yang maut telah dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.