Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kejadian berlaku semasa bot nelayan itu sedang belayar dari Pulau Ketam, Selangor menuju ke Endau, Mersing untuk memasuki limbungan bagi tujuan pembaikan.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai sebuah bot nelayan tempatan dilaporkan mengalami kerosakan enjin dan dimasuki air kedudukan lebih kurang 0.4 batu nautika utara Tanjung Lompat, pada kira-kira 10 malam tadi.

“Bertindak daripada maklumat kita mengaktifkan Op Carilamat (SAR) pada 10.15 malam dan mengatur gerakan sebuah bot ke lokasi kejadian, bagaimanapun sejurus tiba kita dapati bot tersebut berada dalam keadaan tenggelam berhampiran pantai tetapi mangsa tiada di dalam.

“Menerusi perkongsian maklumat antara Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Pengerang, bantuan anggota kemudian turut digerakkan menerusi jalan darat lalu berjaya menemui dua mangsa dalam keadaan selamat pada 11.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Tambahnya, kedua-dua nelayan terbabit, Heng Bak Chai iaitu tekong dan krunya, Tang Kok Chin berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai dan mereka dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi untuk membuat laporan polis berkaitan kejadian. - UTUSAN ONLINE