Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu berlaku apabila bas tersebut yang membawa 23 murid SK Kidurong II dari arah Samalaju di sini merempuh belakang sebuah lori kargo membawa muatan paip besi yang berhenti di tepi jalan akibat mengalami kerosakan.

Mangsa yang terbunuh ialah pemandu bas, Remnelan Samat, 55; Aien Laila Alesha Abdullah, 11, dan Nurnadia Syakila, 9.

Ketua Polis daerah, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan tujuh penumpang termasuk pemandu kedua bas mengalami kecederaan ringan dan dirawat di hospital, namun 14 lagi mangsa terselamat.

“Kejadian berlaku apabila bas sekolah dari arah Samalaju menghala ke pusat bandar ini me­langgar belakang lori kargo rosak yang diletakkan di tepi jalan.

“Dalam kejadian ini, Remnelan dan Aien Laila Alesha maut di tempat kejadian, manakala Nurnadia Syakila disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Bintulu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkipli memberitahu, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca akibat kecuaian pemandu lori kargo yang meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga menghalang bas berkenaan.

Menurutnya, rempuhan kuat menyebabkan paip besi yang di­le­takkan di belakang lori tersebut menembusi cermin hadapan bas sekolah berkenaan.
Ujarnya, pemandu bas yang tersepit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badannya.

“Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat, manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.