Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi, mangsa Amal Akmal Mohamad, 18 dan Mohamad Adib Saifuddin Mohamed Nawi, 14, maut serta merta di lokasi nahas.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas motosikal yang ditunggang Mohamad Adib Saifuddin telah memotong sebuah kereta di hadapannya.

Katanya, mangsa gagal masuk semula ke laluan dan bertembung dengan motosikal ditunggang Amal Akmal yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa melambung dan tercampak di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan," katanya.

Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 411)Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE