Mangsa, Muhammad Shah Aidil Sabari, 16, dari Kampung Parit Kemang Darat, Senggarang, Batu Pahat dan Raazi Mohamad, 20, dari Kampung Parit Seri Menanti, Senggarang meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Abdul Wahib Musa berkata, dalam kejadian 7.30 malam itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Pekan Parit Botak, manakala kereta Proton Iswara dinaiki tiga beranak dari arah bertentangan.

"Sampai di tempat kejadian, tiba-tiba motosikal jenis Honda ditunggangi Raazi datang dan masuk laluan kanan sebelum bertembung dengan kereta berkenaan.

"Pemandu kereta itu cuba mengelak ke kanan dan bertembung dengan Muhammad Shah Aidil sebelum terbabas ke bahu kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Wahib berkata, kedua-dua mangsa yang tercampak ke bahu jalan maut di tempat kejadian manakala pasangan suami isteri berusia 38 dan 35 tahun serta anak  lelaki mereka berusia dua tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. - UTUSAN ONLINE