Panik dengan keadaan itu terutama apabila melihat arus semakin deras dan paras air kian meningkat, kedua-dua mangsa yang berusia 43 dan 58 tahun kemudiannya menghubungi bomba minta diselamatkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata,pihaknya menerima panggilan pada pukul 5 pagi sebelum sepasukan anggota bomba digegaskan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi pasukan penyelamat mendapati air telah naik setinggi lebih satu meter dan dua lelaki terperangkap di dalam sebuah lori, kedua-dua mangsa bagaimanapun berjaya dibawa keluar dengan selamat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohd. Sani memberitahu, beberapa lokasi di sekitar Shah Alam dan Klang dilanda banjir ekoran fenomena air pasang dan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Menurutnya di Shah Alam, Taman Bukit Kemuning dan Kampung Bukit Naga ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter manakala di Klang lima kawasan dilanda banjir iaitu Kampung Sungai Pinang, Bukit Raja, Taman Klang Utama, Taman Maznah serta Padang Jawa.

Bagaimanapun jelas Mohd. Sani tiada sebarang pusat pemindahan dibuka buat masa ini memandangkan paras banjir telah mulai surut. - UTUSAN ONLINE