Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, dua buah kenderaan tentera tersebut dalam perjalanan dari arah Gemas menghala ke Segamat, manakala kereta dipandu seorang pemuda berusia 20 tahun dari arah bertentangan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Raub Selamat berkata, dua anggota tentera turut cedera ringan termasuk sakit di bahagian belakang dan luka di dahi.

"Pemandu kereta Perodua Myvi yang beralamat di Gemas Baru itu pula cedera pada tangan kanan. Siasatan awal mendapati kereta dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan merempuh kenderaan tentera sebelum bertembung pula dengan sebuah lagi kenderaan tentera," katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE