Dalam kejadian di Nilam Puri, pukul 2.30 petang ini, Muhammad Fitri Mohd. Affendi, 11, meninggal dunia di tempat kejadian apabila dia dan abangnya, Muhammad Faiz, 12, terjatuh ketika berbasikal pulang dari sekolah menyeberangi jambatan sewaktu air sungai melimpah.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian walaupun Allahyarham dan juga abangnya yang terselamat, berjaya ditarik naik ke darat oleh penduduk kampung yang sedang melalui jambatan tersebut.

Ibu mangsa, Mazlini Jali, 40, berkata, kedua-dua beradik itu melalui jambatan tersebut setiap hari dan saksi memberitahu, ketika kejadian air sungai telah melimpah ke atas jambatan.

“Namun, kedua-dua anak saya tetap meredahnya sebelum arus deras menolak mereka,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini hari ini.

Mazlini, seorang suri rumah memberitahu, kejadian tersebut menyebabkan Muhammad Faiz trauma dan enggan bercakap.

“Arwah dan abangnya memang rapat, sering ke mana-mana. Kami sekeluarga reda dengan pemergian Muhammad Fitri,” katanya yang memiliki empat cahaya mata.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Setapa Yusoff yang dihubungi mengesahkan mengenai kejadian ter­sebut.

Di Tumpat, mayat mang­sa, Wan Rufkhan Danial Wan Ramzan, 14, yang terjatuh ke dalam Sungai Kelantan ketika bermain banjir di dataran Purnama di Kampung Laut petang semalam, ditemukan pukul 1.40 petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Penolong Penguasa Wan Baijuri Wan Hassan berkata, mayat tersangkut di tiang jeti Kampung Laut kira-kira 400 meter dari lokasi mangsa terjatuh.

“Mayat mangsa ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air dan sukarelawan Persatuan Nelayan ketika operasi mencari dan menyelamat,” ujarnya.

Sementara itu, bapa Wan Rufkhan, Wan Ramzan Wan Ab Majid, 47, berkata, keluarganya menerima dengan reda kejadian tersebut dan menganggap ketentuan Allah.

“Saya tak sangka dia boleh bermain air. Dia tidak pernah berbuat demikian. Lagipun dia takut air, berenang pun tak pandai,” katanya ketika ditemui pemberita.

Wan Ramzan memberitahu, dia mengetahui kejadian itu apabila singgah minum petang di sebuah kedai berdekatan rumahnya di Kampung Laut selepas pulang daripada kerja.

“Ada orang kampung datang beritahu bahawa anak saya lemas, ketika itu hanya Allah yang tahu perasaan saya,” ujarnya.

Habis