Dalam kejadian pada pukul 1.35 petang itu, mangsa, Suri Cheng Hong, 50, maut di tempat kejadian dalam keadaan mayatnya terperosok di bawah bas persiaran tersebut.

Sementara isterinya, Mala Anas, 45, yang membonceng motosikal jenis Yamaha LC135 cedera parah. Turut cedera ialah lapan penumpang bas persiaran tersebut sementara 22 penumpang lagi selamat.

Ketua Polis Daerah Hulu Sela­ngor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, kejadian berlaku semasa bas persiaran membawa 30 penumpang yang dalam perjalanan dari Genting Highlands dan menuju ke Sungai Petani tiba-tiba hilang kawalan dan ma­suk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, dalam masa yang sama, pemandu sebuah bas ekspres yang membawa 16 penumpang berada di hadapan bas persiaran tersebut memberhentikan kenderaannya di bahu jalan apabila melihat situasi tersebut.

“Keadaan itu menyebabkan kedua-dua bas bergesel dan ketika itulah motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan dirempuh bas persiaran dan terus diseret hingga ke longkang di tepi jalan menyebabkan mangsa yang mengalami cedera parah maut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ujar Supramaniam, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu sementara isteri­nya turut dirawat di zon merah hospital yang sama.

Jelasnya, pemandu bas persia­ran dan bas ekspres yang masing-masing berumur 44 dan 48 ditahan di balai untuk merakamkan keterangan.

“Ujian saringan air kencing terhadap mereka menunjukkan keputusan negatif. Pemandu bas persiaran bagaimanapun ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan. Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memberitahu, semua mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 3.44 petang dan terdapat lapan mangsa dari bas persiaran yang cedera ringan.