Sekretariat Jawatankuasa Pe­ngurusan Bencana negeri, Mejar Is­mail Mahedin berkata, seba­nyak 16 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa yang terjejas di bahagian Samarahan, Serian dan Mukah setakat pukul 4 petang hari ini.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 20 sekolah ditutup akibat dilanda banjir termasuk tiga sekolah digunakan sebagai pusat pemindahan bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat bencana itu.

“Penutupan sekolah itu menjejaskan 2,544 murid, 320 guru dan 83 kakitangan yang lain.

“Malah, terdapat 156 murid sekolah rendah dan 18 murid prasekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tukau di Miri terpaksa dipindahkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas terperangkap kerana jalan ke sekolah dinaiki air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, bahagian paling teruk terjejas adalah Samarahan dengan membabitkan 1,629 mangsa daripada 453 keluarga.

Beliau berkata, Serian pula mencatatkan 564 mangsa daripada 150 keluarga diikuti 189 mangsa daripada 59 keluarga di Mukah.

“Banjir turut berlaku di bahagian lain termasuk Kuching dan Miri tetapi keadaan terkawal dan ada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sudah dibenarkan pulang hari ini,” jelasnya.

Ismail turut menasihatkan penduduk supaya terus berwaspada kerana Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat peringkat kuning akan berlaku di negeri ini sehingga Rabu ini.

“Dalam tempoh itu, hujan lebat dijangka berlaku bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu Miri dan Kapit meliputi daerah Song, Kapit serta Belaga,” katanya.

Beliau memberitahu, semua bilik operasi bencana di negeri ini bersedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa sebagai tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan beri­siko tinggi seper­ti banjir dan ta­nah runtuh.