Mereka termasuk seorang bekas pesakit kanser yang berlepas ke Rusia pada 24 Ogos lalu bagi menggalas cabaran menakluk Gunung Elbrus dan me­ngibarkan Jalur Gemilang di puncak ber­kenaan.

Cabaran pendakian dikenali Misi Kembara Srikandi Prihatin Negaraku (KSPN) itu dianjurkan hasil kerjasama Persatuan Kembara Negara dan Kembara Srikandi Prihatin (KSP) dan disokong oleh Pergerakan Pu­teri UMNO dan Sekreta­riat Negaraku Pejabat Perdana Menteri.

Selain misi mengibarkan bendera di Gunung Elbrus, matlamat lain kumpulan pendaki berke­naan ingin membawa mesej bahawa kaum wanita mampu menakluki puncak tertinggi di Eropah.

Enam pendaki tersebut ialah Rene’e Aziz Ahmad, 56, yang merupakan bekas pesakit kanser, Nir Azmin Adnan, 34; Nurul Huda Shamsuddin, 31; Fazilah Abd. Manan, 41; Fairul Asmaini Mohd. Pilus, 35 dan Ummu Farah Haidar Zulkifli, 30.

Wisma Putra hari ini mengesahkan 19 rakyat Malaysia terkandas ketika mendaki Gunung Elbrus susulan banjir lumpur yang melanda di lokasi berhampiran pergunungan tersebut.

Menurut agensi berita Rusia, kira-kira 500 orang termasuk pelancong asing terperangkap akibat bencana alam di kawasan pergunungan itu.

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaru, kesemua yang terkandas dilaporkan telah berjaya dibawa keluar dengan helikopter pihak berkuasa Rusia, petang ini waktu tempatan.