Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain mangsa yang maut,  14 pesakit berada dalam keadaan kritikal, sembilan dimasukkan ke wad untuk rawatan manakala sembilan lagi dibenarkan pulang.

"Jumlah keseluruhan ialah 51 kes iaitu 45 kes dilaporkan di Selangor manakala enam kes di Kuala Lumpur.

"Daripada jumlah tesebut, tiga individu merupakan warga tempatan manakala 48 lagi terdiri daripada warga Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, kesemua mangsa menunjukkan tanda-tanda keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan, sesak nafas, kekejangan dan tidak sedarkan diri.

Jelas beliau, tanda-tanda dan gejala awal keracunan akan dialami bermula sehari atau dua hari selepas tarikh akhir meminum minuman tersebut.

"Laporan polis telah dibuat oleh KKM untuk mengenal pasti pengedar, pengilang dan punca keracunan sekaligus menyekat pembekalan minuman keras yang tercemar ini di pasaran," jelasnya. - UTUSAN ONLINE