MUKADIMAH<BR><BR>SELEPAS pendedahan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung kegagalan hampir 2,845 premis tinggi gagal memiliki sijil perakuan bomba (FC), kini jabatan itu turut merekodkan kirakira 15,838 bangunan kecil dikesan gagal mematuhi notis menghapuskan bahaya kebakaran (MBK) di seluruh negara.

Apa yang membimbangkan adalah apabila statistik sepanjang 2017 hingga Jun lalu itu menunjukkan rekod tertinggi melibatkan premis yang ramai pengguna serta penghuni seperti kediaman, sekolah, hotel, pejabat dan kedai.

Premis berkenaan ibarat ‘jerangkap kebakaran’ berikutan gagal mematuhi aspek keselamatan dan pelbagai kriteria lain termasuk alat pencegah kebakaran sekiranya berlaku bencana tersebut.

Ikuti laporan khas wartawan Utusan Malaysia, NAZWIN NAZRI berkaitan statistik JBPM terhadap premis-premis terlibat yang berisiko tinggi sehingga boleh mengakibatkan maut
jika terbakar.
 

KUALA LUMPUR 12 Ogos  -  Sebanyak 15,838 bangunan kecil dikesan berisiko tinggi mengakibatkan kematian sekiranya berlaku bencana berikutan gagal mematuhi notis Meng&#173;hapuskan Bahaya Kebaka&#173;ran (MBK) yang ditetapkan Ja&#173;batan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepanjang tempoh 2017 hingga Jun lalu.

Lebih membimbangkan, antara premis tertinggi yang gagal mematuhi Seksyen 8, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 itu membabitkan kediaman, sekolah, institut pengajian tinggi (IPT), pejabat ser­­ta pusat beli belah.

Berdasarkan statistik JBPM, da­ri Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 6,026 notis dikeluarkan, malah secara purata jumlah tersebut meningkat kira-kira 1,120 kes ber­­banding tem­poh yang sama pada tahun lalu hasil daripada 10,112 premis yang diperiksa.

Menurut Penolong Ke­tua Pe­ngarah Bahagian Ke­­selamatan Kebakaran JBPM, Datuk Rusmani Muhamad, jumlah notis dikeluarkan pada tahun ini adalah tinggi berbanding tahun lalu yang hanya merekodkan 9,812 daripada 16,170 notis untuk tempoh 12 bulan.

Jelas beliau, notis tersebut di­keluarkan berikutan pemilik premis melakukan kesalahan se­perti menghalang laluan keluar seperti tangga, tidak melakukan penyelenggaraan alat mencegah kebakaran selain mengabaikan sistem keselamatan.

“Rekod mendapati, bangunan kediaman seperti pangsapuri dan kondominium adalah premis paling tinggi yang gagal mematuhi peraturan di bawah MBK. Malah dalam tempoh enam bulan pertama, sebanyak 2,308 kes direkodkan.

“Selain itu, sekolah bukan ali­ran agama pula mencatatkan rekod kedua tertinggi dengan jumlah 632 kes diikuti hotel bajet (555) dan kedai (494). Kita bimbang ia boleh mengakibatkan angka korban tinggi sekiranya berlaku bencana kerana kesemua premis ini memiliki penghuni yang ramai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rusmani memberitahu, keba­nyakan pemilik premis enggan mematuhi MBK kerana merasakan bangunan yang diduduki itu kecil dan mudah menyelamatkan diri sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran.

Ujar beliau, terdapat juga bebe­rapa pemilik premis yang ber­sikap sambil lewa selain memandang remeh seolah-olah tidak menye­dari kesalahan ketika pemeriksa­an dilakukan.

Sehubungan itu, tambahnya, sebanyak 1,527 kes telah dihadapkan ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan di mana 1,309 kes berstatus ditunda manakala 198 menang dan 20 kes ditolak.

“Sepanjang tempoh 2017 hingga Jun lalu, sebanyak RM217,000 dikompaun. Jumlah kompaun yang dikenakan tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pemilik premis juga boleh di­kenakan denda tambahan sebanyak RM100 bagi setiap hari jika kesalahan yang dilakukan berte­rusan,” ujarnya.