Timbalan Pengarah­nya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd. Zahar Abdullah berkata, sepanjang tahun ini, kejadian sama turut dilaporkan berlaku di Batu Hampar, Yan; Pusat Rekreasi Tupah, Merbok dan Air Terjun Temurun, Datai di Langkawi yang kesemua­nya melibatkan 15 mangsa.

“Sebanyak 15 individu itu bagaimanapun terselamat dalam kejadian tersebut. Selain empat lokasi itu, kejadian kepala air turut pernah dilaporkan berlaku di Titi Hayun, Yan; Bukit Wang, Jitra; Sungai Batu Pahat, Merbok serta Puncak Janing, Kuala Nerang.

“Tiga lagi kawasan berisiko terletak di Kulim iaitu Sungai Kilim, Sungai Sedim dan Lata Junjung manakala dua lagi di Langkawi iaitu Telaga Tujuh serta Durian Perangin,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail menyempurnakan Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2017 di Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Yan di sini hari ini.

Dalam majlis itu, 61 pelatih terdiri daripada 55 lelaki dan enam wanita me­nerima sijil pentaulia­han sebagai pegawai bomba bantuan.

Khamis lalu, empat kanak-kanak be­rusia lima hingga 12 tahun maut setelah terperangkap dalam tragedi kepala air ketika sedang mandi-manda di Lubuk Sembilang, Kuah.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu seperti sekarang.

“Bagaimanapun kami juga berharap supaya masyarakat sentiasa berwaspada apabila me­ngunjungi kawasan terbabit untuk menjalankan aktiviti riadah,” ujarnya.