Kejadian pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan itu berlaku apabila pemandu bas, Somporn Bua­luang, 58, seorang warga tempatan membawa laju kenderaan tersebut, dipercayai dikejar sebuah kenderaan lain selepas melanggar sebuah pikap di Mae Khachan.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain mengesahkan kematian 13 rakyat Malaysia itu dan pihak kedutaan menghantar pegawainya ke Chiang Mai untuk urusan selanjutnya.

Difahamkan kesemua rakyat Malaysia itu berasal dari Batu Pahat, Johor dan bertolak ke Chiang Mai bersama sebuah agensi pelanco­ngan pada Khamis lalu.

Ketika memandu laju di Lebuh Raya Chiang Mai-Chiang Rai, bas tersebut hilang kawalan lalu terlanggar sebuah kereta Suzuki Swift, menyebabkannya terbabas.

Seorang pemandu pelancong warga Thailand, turut terbunuh.

Somporn yang cedera dirawat di Hospital Doi Saket dan berada dalam tahanan polis.

Ketua Pengarah Jabatan Pengawalan Bencana, Chatchai Promlert berkata, kejadian berlaku berdekatan pos kawalan polis kampung Ban Pan Fan di Doi Saket.

Katanya, bas dengan nombor pendaftaran 30-0485 itu menuju Chiang Mai dari Chiang Rai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Doi Saket, Kolonel Nanthisak Vanyangkul berkata, berdasarkan siasatan awal, bas persiaran berkenaan membawa 22 pelancong Malaysia berketurunan Cina dari Chiang Rai dan dalam perjalanan kembali ke penginapan di bandar Chiang Mai.

Katanya, sebelum kejadian, pihaknya menerima panggilan daripada rakan sejawat di Chiang Rai memaklumkan bas berkenaan dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari di kawasan Wiang Pa Pao.

“Kami menerima maklumat meminta agar menahan bas terbabit. Pada masa sama, mangsa kemalangan terdahulu turut mengejar bas terbabit.

“Apabila sampai di Kilometer 43 berdekatan Kampung Ban Pang Fen, pemandu kereta dikatakan meminta pemandu bas berhenti tetapi tidak diendahkan.

“Dia (pemandu bas) yang memandu laju dipercayai gagal mengawal bas sebelum terbabas dan merempuh sebuah kereta Suzuki Swift sebelum terhumban ke dalam gaung,” katanya.

Beliau berkata, kejadian tersebut mengakibatkan sebahagian pelancong me­ninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala sebahagian lagi mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Doi Saket,” katanya.

Beberapa gambar yang dimuat naik di Internet oleh media tempatan menunjukkan keadaan tragis ketika pasukan penyelamat bertungkus lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam bas. – AGENSI