Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Ibrahim Mohd. Abd. Kadir berkata, kemalangan pada pukul 10 pagi itu menyebabkan bahagian hadapan bas ekspres itu remuk.

“Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku sewaktu lori berkenaan sedang bergerak di lorong tengah lebuh raya itu.

“Bagaimanapun sebuah bas dari arah belakang yang berada di lorong sama tiba-tiba melanggar lori berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Ibrahim berkata, kemalangan itu menyebabkan 12 daripada 22 penumpang bas ekspres berkenaan mengalami luka dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini bagi mendapatkan rawatan.

Ujarnya, pemandu bas ekspres berusia 48 tahun mengalami kecederaan di bahagian kening, manakala lelaki berusia 65 tahun yang memandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan.

Jelas beliau, baki sepuluh penumpang bas ekspres tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa menaiki bas ganti ke Seremban.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Peraturan 3(2)(A) LN 166/59,” katanya. - UTUSAN ONLINE