Che Roza Malek Sidik, 55, berkata, air naik terlalu cepat pada Jumaat lepas menyebabkan beliau dan tujuh anggota keluarganya berpindah ke atas loteng berkenaan sambil menunggu kedatangan anggota penyelamat.

"Air mula naik pada waktu petang berikutan hujan lebat dan pada pukul 9 malam, paras air sekitar 0.8 meter di dalam rumah manakala di luar rumah pula mencecah sehingga dua meter.

"Berikutan itu, saya mengarahkan isteri dan anak-anak untuk berlindung di atas loteng sambil menunggu kedatangan anggota penyelamat yang hanya tiba pada pukul 8 pagi semalam (Sabtu)," katanya.Che Roza berkata, beliau kerugian lebih RM10,000 selepas gagal menyelamatkan kesemua barangan dalam rumahnya kerana air yang naik terlalu cepat.

Antara barangan dalam rumah yang rosak termasuk sofa, peti sejuk, tilam, almari, selain sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan lima motosikal yang diletak di luar rumah turut tenggelam dalam kejadian itu.

Katanya, banjir kali ini merupakan yang terburuk pernah dilaluinya sejak menetap di kampung tersebut kira-kira 28 tahun yang lepas.- BERNAMA