Dalam kemalangan kira-kira pukul 3.40 petang itu, 12 penumpang sebuah bas dan tiga pemandu kenderaan lain dipercayai turut mengalami luka-luka kecil.

Selain dua kenderaan terbabit, sebuah kereta jenis Nissan X-Trail, lori tangki dan lori satu tan turut terlibat dalam insiden itu yang dipercayai berpunca daripada treler terbabit yang gagal berhenti akibat kesesakan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, kelima-lima kenderaan terbabit berada di laluan yang sama sebelum empat daripadanya telah memberhentikan kenderaan masing-masing.

“Kemudian datang sebuah treler melanggar bahagian belakang lori tangki dan menyebabkan kenderaan tersebut bergerak ke hadapan lalu merempuh kenderaan di hadapannya. 

“Kemalangan dipercayai akibat pemandu treler berusia 50 tahun yang gagal mengawal kenderaan dipandunya,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Bakarya Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.50 petang sebelum tujuh anggota bersama jentera bergegas ke lokasi.

“Operasi tamat kira-kira sejam kemudian dan kami menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE