Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azhan Abd. Halim berkata, kemalangan yang berlaku pukul 7.30 pagi itu menyebabkan pergerakan trafik perlahan sepanjang lapan kilometer ekoran sebuah lori kontena terbalik melintang di kedua-dua lorong.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori kontena melanggar belakang lori kontena di hadapan menyebabkan lori terbabit terbalik serta terjatuh ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Perlanggaran tersebut menyebabkan seorang mangsa cedera parah manakala tiga lagi cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi. 

Menurut pihak bomba dan penyelamat, mereka mendapat panggilan tentang kejadian tersebut pada 8.05 pagi.

Katanya, kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan yang terlibat dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk mendapat rawatan sebelum menamatkan operasi pada 10.13 pagi. - UTUSAN ONLINE