Sumber memaklumkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.30 petang menyebabkan enam kanak-kanak terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan daripada beberapa keluarga berbeza, hanyut dibawa arus deras yang muncul secara tiba-tiba.

“Kejadian berlaku pada pukul 4.30 petang melibatkan enam kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun. Dua daripada mereka iaitu kanak-kanak lelaki berusia 11 dan 12 tahun berjaya diselamatkan orang awam setelah tersangkut pada batu dan kayu dengan mereka dilaporkan hanya mengalami luka serta calar di kaki.

“Empat kanak-kanak perempuan itu bagaimanapun hilang sekelip mata dibawa arus deras. Sehinggalah pada pukul 5.30 petang, anggota bomba menemukan mayat salah seorang daripada mereka kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini

Mangsa yang maut alah Qistina Puteri Wira, 11, manakala dua kanak-kanak lelaki yang terselamat adalah Adib Irfan Saad, 11, dan Alif Akmal Md. Zamri, 12.

Tiga mangsa yang masih hilang pula Siti Aishah Kassim, 5, Iman Wahida Mohd. Basri, 11, serta Anis Syakirah, 12, yang merupakan kakak kepada Adib Irfan.

Sementara itu Alif Ikmal ketika ditemui memberitahu, dia bernasib baik kerana sempat berpaut pada batu di tebing sungai sebelum diselamatkan orang ramai.

“Bila air itu datang, saya sendiri pun tak sedar. Tahu-tahu saya dihanyutkan arus dan dalam keadaan terkapai-kapai itu, saya sempat berpaut pada batu sebelum ditarik oleh orang ramai ke tebing,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ke­­tua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintenden Mahani Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.