Mangsa, Muhammad Atif Hafifi Abd. Manaf, 28, menyatakan demikian kepada ibunya, Junainah Zainal, 55, sebelum turun ke laut dengan menaiki bot bersama-sama seorang rakannya, Mohd. Yassin Sulaiman, 38, semalam.

Menurut Junaidah, anak bongsunya daripada empat adik beradik itu pergi ke laut dari jeti nelayan Kampung Persisir di sini pukul 8.30 pagi semalam dan tidak pulang lagi selepas itu.

“Saya rasa tidak sedap hati sejak pukul 12 tengah hari semalam apabila Muhammad Atif masih belum sampai ke rumah apatah lagi cuaca hujan lebat berserta ribut ketika itu.

“Keadaan itu merisaukan saya walaupun Muhammad Atif sudah lama menjadi nelayan,’’ katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan bilik mayat Hospital Pontian di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, bot dinaiki Muhammad Atif dan Mohd. Yassin dipukul ribut sehingga terbalik di kedudukan satu kilometer barat Sungai Rambah dekat sini.

Mohd. Yassin berjaya berenang ke pantai menyelamat diri manakala Muhammad Atif dihanyutkan arus deras sebelum ditemukan mayatnya pukul 8.30 pagi ini kira-kira 1.5 kilometer dari pesisiran pantai Rimba Terjun.

Sementara itu, kejadian ribut kencang itu turut mengakibatkan sebuah lagi bot yang membawa empat kru karam pada kedudukan 1.8 kilometer barat Sungai Pontian Kechil pada waktu yang hampir sama akibat dimasuki air laut.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superitenden Zakaria Abdul Rahman berkata, Mohd. Syami Hasing, 16, hilang manakala tiga yang lain sempat diselamatkan bot nelayan lain di kawasan itu.

“Kejadian ini berlaku hanya selang beberapa minit. Ketika ini gerakan mencari Mohd. Syami atau lebih dikenali sebagai Amy Sabah diteruskan tertumpu di kawasan Tambak Pontian hingga ke Kukup,” katanya ketika ditemui di pusat operasi menyelamat di Pantai Rambah.