Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, kesemua anggota tersebut bersedia digerakkan pada bila-bila masa untuk membantu polis, tentera, bomba dan pasukan sukarelawan dalam memastikan mangsa banjir mendapat bantuan terbaik.

"Anggota pasukan penyelamat akan gerakkan ke seluruh negara. Saya juga bergerak dari Terengganu, Kelantan, Perak dan Perlis.

"Di pusat pemindahan sementara sewajarnya polis bertindak sebagai ketua, timbalannya pihak bomba dan agensi lain seperti APM, Rela dan sebagainya membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat penempatan banjir Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Pantai Remis, di sini hari ini.

Mengenai keadaan banjir di daerah Manjung, Shahidan berkata, sebanyak enam pusat pemindahan kini dibuka bagi menempatkan 943 mangsa dari 225 keluarga dan kesemua pusat pemindahan tersebut diuruskan dengan baik khususnya dari aspek bekalan pemakanan.

Beliau berkata, Perak diletakkan pada tahap amaran berjaga-jaga dan APM bersedia menghantar pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negeri ini sekiranya keadaan banjir membimbangkan.

Katanya, pasukan SMART telah di Kelantan dan Terengganu.

"Kita ambil pendekatan iaitu jika dapat amaran berjaga sahaja, anggota penyelamat mesti dihantar ke lokasi.

"Pusat pemindahan juga diaktifkan serta merta kecuali banjir yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru di luar jangkaan,” katanya.

Menurut Shahidan, APM mempunyai aset yang mencukupi dan dalam keadaan terbaik bagi menghadapi bencana banjir.

"Aset kerajaan dan juga aset pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh kita sewa termasuk persatuan nelayan akan digembleng di bawah satu bumbung untuk digerakkan sekiranya diperlukan," katanya. - UTUSAN ONLINE