Penuntut tahun akhir jurusan Pengurusan Sumber Manusia UPNM, Nurul Syuhada Md. Jamean, 22, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, Zulfarhan Osman mengadu perkara tersebut ketika menelefonnya beberapa hari sebelum dia pulang bercuti pada 26 Mei tahun lalu.

Menurut Nurul Syuhada, Zulfarhan Osman memberitahu, dia dipukul kerana dituduh mencuri komputer riba milik Muhammad Akmal Zuhairi Azmal yang kemudian dicamkan sebagai tertuduh pertama.

“Dia ada cakap yang dia sakit dan nak beri­tahu sesuatu. Katanya dia dipukul dan saya tanya siapa pukul, dia cakap ramai tapi tidak beritahu nama yang terlibat,” katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam perbicaraan hari kesem­bilan kematian Zulfarhan Osman.

Mangsa katanya, turut menafikan mencuri komputer tersebut.

Dalam kes tersebut, enam penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan Asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemua berusia 22 tahun dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri kompu­ter riba.

Pertuduhan mereka dikemukakan mengikut Seksyen 330 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata, ketika panggilan telefon itu juga, Zulfarhan Osman turut memintanya bertanyakan kepada ibunya atau sesiapa yang boleh ‘mencari’ komputer riba itu.

“Saya hubungi emak dan cerita kepadanya, bagaimanapun emak tanya kenapa tidak beritahu orang atasan.

“Saya kemudian hubungi Zulfarhan semula dan beritahu tentang perkara yang emak katakan itu,” katanya.

Mereka kemudian bertemu pada 26 Mei di depan blok penginapan Tuah selepas waktu maghrib di dalam kereta dan turut ditemani tertuduh kedua dan keempat, Muhammad Azamuddin serta Muhammad Afif Najmudin.

Dalam pertemuan tersebut, Nurul Syuhada menyedari kedua-dua belah tangan teman lelakinya bengkak namun tidak mengesan kecederaan lain.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 26 Jun ini.