Itu merupakan antara fakta yang akan dibuktikan oleh pihak pendakwaan dalam kes kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan bulan lalu.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam ucapan pembukaannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini juga menyatakan, pihak pendakwaan akan membuktikan mangsa dipukul beberapa jam ketika soal siasat di bilik 03-05 kedia­man pelajar pada 21 Mei 2017 dan di bilik 04-10 keesokannya.

“Namun, nasib yang menimpa mangsa tidak terhenti pada pukul 4.30 pagi, fakta kes pendakwaan akan menunjukkan pada lebih kurang pukul 4.45 pagi, mangsa telah ditekap dengan seterika wap sehingga menjerit kesakitan.

“Perbuatan mene­kap badan mangsa dengan seterika wap itu diberhentikan setelah azan subuh berkumandang kira-kira pukul 5.45 pagi,” ujarnya.

Beliau berkata, pendakwaan melalui saksi pakar perubatan forensik juga akan mengemukakan hasil bedah siasat yang menunjukkan mangsa mengalami kecederaan pada badan serta sebab kematian adalah luka bakar selain terdapat kesan lecur tahap satu, dua dan tiga yang sedang me­ngalami proses penyem­buhan.

Dalam kes tersebut enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba yang dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Sementara itu, dalam perbi­caraan hari pertama itu, Penolong Pegawai Perubatan di Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan Hospital Serdang, Mohd. Fadzli Sham Shafii, 36, memberitahu, dia bersama pemandu ambulans sampai di Blok B, Apartmen De Centrum, Kajang pada malam 1 Jun 2017 dan ketika itu ada seorang lelaki menunggu di lobi dan membawa mereka ke rumah.

“Selepas masuk ke dalam rumah itu, saya melihat ada seorang lelaki dalam lingkungan 20-an terbaring dengan hanya berkain pelikat dan dengan balutan di badan,” katanya yang melakukan pemeriksaan dan mendapati pesakit tidak lagi bernafas, tiada denyutan nadi dan tiada pergerakan pada anak mata hitamnya. 

Pada sesi petang, bapa Zulfarhan Osman yang juga saksi pendakwaan kelima, Zulkarnain Idrus, 54, dilihat sebak dan mengesat air mata ketika Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz meminta dia membuat pengecaman menerusi gambar bedah siasat anaknya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 28 Februari ini.

Mengimbas kejadian itu, Zulkarnain berkata, dia yang ketika itu berada di rumahnya di Skudai, Johor Bahru mengetahui berita kematian anaknya setelah menerima panggilan telefon daripada pihak UPNM pada pukul 11.45 malam, 1 Jun tahun lalu.

“Saya terkejut dan tidak mempercayainya. Saya kemudian terus bergerak ke Hospital Serdang dan tiba di sana pada pukul 3.30 pagi, 2 Jun. Bagaimanapun saya hanya diberi kebenaran untuk membuat pengecaman pada pukul 9 pagi,” katanya yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju T biru gelap bertulis #justice4farhan, #saynotobully dan #humanity.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 28 Februari ini.

Habis