ZULFARHAN OSMAN ZULKARNAIN
ZULFARHAN OSMAN ZULKARNAIN

Pegawai Perubatan Klinik As-Salam, Dr. Azfar Hussin, 34, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, Zulfarhan Osman datang mendapat rawatan pada 31 Mei 2017 antara pukul 10 pagi dan 11 pagi bersama dua lagi rakannya selepas rawatan kali pertama pada 27 Mei tahun sama.

Dalam pertemuan tersebut, beliau sempat bertanyakan kepada mangsa dan rakan-rakannya mengapa datang semula ke klinik dan adakah mangsa sudah mendapatkan rawatan di hospital.

“Ketika itu Zulfarhan menjawab keadaan luka bertambah baik dan dia ingin membuat cucian luka baharu di kedua-dua belah paha dengan alasan bagi memudahkan bergerak selain membaiki cucian luka yang lama di punggung serta beberapa bahagian badan.

“Dalam pengamatan saya, luka mangsa semakin sembuh kecuali di bahagian punggung dan perut kera­na terlalu banyak cecair keluar daripada luka. Mangsa juga kelihatan letih dan dehid­rasi,” katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah pada hari ketiga perbicaraan kes kematian Zulfarhan.

Dalam kes tersebut enam penuntut, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa dengan se­ngaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba yang dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Dalam prosiding berkenaan, saksi pendakwaan ketujuh itu memberitahu, tanda vital mangsa ketika rawatan kedua itu menunjukkan keadaan normal dengan bacaan darah adalah 110/70mmHG, degupan jantung 98 per minit, paras oksigen 99 peratus dan suhu 36 darjah Celcius.

“Ketika menerima rawatan, mangsa telah muntah dua tiga kali dan rakan-rakannya juga memberi­tahu Zulfarhan pernah muntah beberapa hari sebelum mendapat rawatan susulan ini,” kata saksi itu yang turut mengeluarkan surat rujukan ke Hospital Serdang buat kali kedua kepada mangsa.

Saksi memberitahu, ketika mendapat rawatan, mangsa berada dalam keadaan sedar dan dia sendiri memberitahu akan ke hospital selepas selesai rawatan di kliniknya.

Azfar berkata, berita kematian Zulfarhan hanya diketahui sehari selepas mangsa meninggal dunia iaitu pada 2 Jun tahun lalu ketika pihak polis datang ke klinik untuk mengambil keterangannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 26 April ini.