Zulfarhan Osman dibawa oleh tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal dan tertuduh kedua, Muhammad Azamuddin Mad Sofi ke rumah sewa Muhammad Nazrin Mohd. Radzuan, 21, di Apartmen De Centrum, Bandar Baru Bangi pada awal pagi 31 Mei 2017 atas alasan hendak membawa mangsa ke sebuah klinik di Bangi, dekat sini.

Muhammad Nazrin yang sedang menjalani kursus Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, dia dimaklumkan oleh Muhammad Akmal Zuhairi yang merupakan rakannya sewaktu di sekolah menengah bahawa Zulfarhan Osman kemalangan.

“Semasa saya sampai di rumah sewa saya, Zuhairi dah ada di ruang tamu. Saya kemudian tanya lagi dua rakannya dan masing-masing kenalkan diri sebagai Azamuddin dan Zulfarhan.

“Saya tanya Zuhairi, kenapa dengan Zulfarhan, dia kata Zulfarhan kemalangan. Selepas itu kami berborak, bertanya khabar sebelum saya masuk bilik untuk berehat,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah.

Ketika ditanya berapa la­ma dia berbual dengan Zuhairi, saksi pendakwaan ke-11 itu menjawab: “Habislah sebatang rokok.”

Tambahnya, sepanjang Zul­farhan Osman berada di rumahnya, penuntut UPNM itu sering terbaring atas tilam di ruang tamu rumah sewanya.

Muhammad Akmal Zuhairi dan Muhammad Azamuddin didakwa bersama-sama Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap me­reka yang kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Muhammad Nazrin memberitahu, pada 1 Jun 2017 ketika sedang berehat sementara menunggu solat isyak, pintu biliknya tiba-tiba diketuk oleh Muhammad Azamuddin.

“Dia minta saya tengokkan Zulfarhan yang ketika itu terbaring di ruang tamu. Katanya Zulfarhan tak bergerak dan kaku. Dia juga tanya sama ada saya boleh lakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) tapi saya cakap saya tak tahu,” katanya.

Muhammad Azamuddin ke­mudian menelefon ambulans sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang.

Perbicaraan di hadapan Ha­kim Datuk Azman Abdullah bersambung 14 Mei ini.