Perintah reman terhadap lelaki berusia 45 tahun itu dikeluarkan Majistret Norzaliza Tesmin di Mahkamah Khas Reman Seremban di sini bagi siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Suspek yang dikenali sebagai ‘Zul Keledek’ dan berasal dari Kampung Jiboi, Ampangan di sini diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kira-kira 30 mangsa diperdaya suspek yang menjanjikan lot-lot tanah di Serting pada 2018 yang kononnya akan memberi pulangan RM2,000 sebulan daripada hasil kelapa sawit.

Suspek juga mendakwa tanah di kawasan itu akan dibangunkan sebagai bandar baharu oleh kerajaan dan nilai tanah dijangka meningkat sehingga RM400,000 bagi setiap 0.4 hektar.

Mangsa yang membayar antara RM6,714 hingga RM56,000 bagi lot tanah tersebut menyedari ditipu kerana pemeriksaan mendapati tanah yang dijanjikan tidak wujud dan lelaki itu enggan memulangkan semula wang mereka.

Menurut mangsa, suspek yang pernah bekerja di bank serta berniaga keledek turut didakwa terlibat dalam penipuan penjualan kereta.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Aibee Ab Ghani ketika dihubungi mengesahkan lelaki itu ditahan di Sikamat di sini malam tadi.

Katanya, terdapat enam laporan polis dibuat terhadap lelaki terbabit melibatkan mangsa di Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan. - UTUSAN ONLINE