“Saya memohon maaf kerana tiada niat untuk menghina mahkamah. Ini lebih kepada masalah peribadi. Saya berjanji tidak akan ulang perbuatan ini,” ujar Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zin, 50.

ZIANA ZAIN
ZIANA ZAIN 

Terdahulu, Majistret Raja Noradilla Raja Mahyaldin memutuskan artis tersebut bersalah menghina mahkamah setelah pihak pemohon iaitu Armin Zaharin Ahmad Zambri yang diwakili peguam Amir Farid Mohd. Nawawi telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Mahkamah terima permo­honan ini tetapi berikutan penghina yang dicadangkan (Ziana) membuat permohonan maaf secara sukarela, mahkamah lepaskannya de­ngan satu amaran.

“Diingatkan selepas ini, jangan keluarkan kenyataan sepanjang kes perbicaraan berjalan,” kata Raja Noradilla.

Sementara itu, Amir Fa­rid ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pi­haknya membuat tuntutan permohonan maaf daripada Ziana pada Julai lalu selepas artis itu mengeluarkan beberapa kenyataan dalam sidang akhbar serta temu bual bersama Majalah InTrend keluaran Jun lalu berhubung kes yang membabitkan anaknya.

Katanya, apa yang diperkatakan Ziana adalah bersifat prejudis kepada anak guam­nya selain menyentuh watak yang menjadi subjek dalam prosiding perbicaraan.

“Akibat perkara ini, res­pon­den (Ziana) menghina mahkamah berikutan campur tangan di dalam kes yang masih dibicarakan,” jelasnya.

Pada Mac lalu, Armin Zaharin yang mendirikan rumah tangga selama 20 tahun de­ngan Ziana sejak 1998, mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan luka dan lebam terhadap anak lelaki mereka berusia sembilan tahun menggunakan rotan pada Februari lalu.