ARMIN ZAHARIN AHMAD ZAMBRI

Menurut sumber, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 50, memfailkan tuntutan penceraian tersebut berikutan suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, enggan melepaskan penyanyi itu secara baik.

“Ya, Ziana Zain ada memfailkan (permohonan) penceraian di mahkamah di sini pada 3 April lalu,” kata sumber itu di sini hari ini.

Sementara itu, Armin Zaharin yang berkemeja putih dan berseluar jean hadir ke Mahkamah Majistret di sini hari ini sambil ditemani peguamnya untuk se­butan kes mencederakan anak­nya dengan menggunakan seba­tang rotan, enggan mengulas lan­jut dan bertindak melarikan diri daripada pemberita.

Terdahulu, Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menetapkan 15 Mei ini untuk penyerahan dokumen selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi yang meminta tarikh sebutan baharu berikutan pihaknya masih dalam proses menyiapkan beberapa dokumen berkaitan kes tersebut.

Prosiding hari ini turut dihadiri oleh Datuk Rosal Azimin Ahmad dan Luqman Mazlan selaku peguam pemerhati mewakili Ziana.

ZIANA ZAIN
ZIANA ZAIN

Sementara itu, Luqman ketika ditemui di luar mahkamah mengesahkan Ziana dan suaminya itu sudah tidak tinggal sebumbung.

“Ziana telah melantik kami sebagai peguam pemerhati pada pertengahan Mac lalu untuk mengikuti semua perbicaraan kes itu. Kami akan berada di mahkamah sepanjang prosiding berjalan termasuk ketika Ziana dipanggil menjadi saksi.

“Setakat ini, keadaan anaknya semakin pulih namun masih lagi trauma,” ujar Luqman.

Pada 8 Mac lalu, Armin Zaharin mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pindaan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam ke atas anaknya menggunakan rotan di sebuah rumah di Denai Alam di sini, antara pukul 8 malam dan 11.30 malam, 24 Februari lalu.

Bekas pramugara kanan sebuah syarikat penerbangan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara mak­simum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu manakala Seksyen 326A pula memperuntukkan hukuman dua kali ganda tempoh maksimum atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 324.

Ziana mendirikan rumah tangga dengan Armin Zaharin pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.