Yusoff yang dipindahkan ke Ja­b­atan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak Jumaat lalu, mengaku tidak bersalah di luar kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Majistret Syahrul Jazly Md. Sain menetapkan kes itu disebut pada 21 Ogos ini bagi memboleh­kan semua pihak mengetahui per­kemba­ngan representasi yang akan dihantar oleh pihak pembe­laan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Tiada jaminan dikenakan oleh mahkamah kerana kes itu merupakan kes saman.

Sewaktu didakwa pada 18 Julai lalu, Yusoff, 58, tidak hadir ke mahkamah dan diwakili oleh pe­ga­wai khasnya yang hanya dikenali sebagai Tengku Dahari yang kemudian membayar denda tersebut.

Pihak media ketika itu turut di­maklumkan oleh salah seorang pe­gawai dari Unit Pendakwaan JPJ Selangor, Rahalim Mohamed bahawa Yusoff tidak dapat hadir kerana mengikuti Program Perhimpunan Setia di Ibu pejabat JPJ.

Beliau didakwa melakukan ke­salahan itu ketika memandu kenderaan bernombor pendaftaran BLY 68 di Lingkaran Putrajaya pa­da pukul 6.27 petang, 7 Oktober tahun lalu.

Yusoff didakwa mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 dan didenda mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan.

Sebelum itu, peguam Datuk Baljit Singh Sidhu yang mewaki­linya memaklumkan, pihak pem­be­laan akan menghantar representasi kepada AGC berhubung per­tuduhan yang dihadapi oleh anak guamnya.

Beliau turut mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (CPC) agar pihak pembelaan dibekalkan dokumen berkaitan kes itu sebelum perbicaraan didengar.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan berkata, pihaknya memerlukan masa sebulan untuk mendapat maklum balas daripada AGC berhubung representasi tersebut.

Baljit ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, Yusoff tidak hadir ke mahkamah ketika didakwa sebelum ini kerana tidak mendapat nasihat perundangan yang sewajarnya berhubung pro­siding mahkamah.

Pendakwaan terhadap pegawai kanan kerajaan itu mendapat reaksi Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Shariff, Jumaat lalu apabila beliau mempertikai tin­da­kannya menghantar wakil ke ma­hkamah.

Ketika ditemui pemberita da­lam Majlis Perjumpaan dan Sam­butan Hari Raya warga kehakiman di Istana Kehakiman di sini Jumaat lalu, Md. Raus memaklumkan kes itu dihantar semula ke Mahkamah Majistret.

Pada sebelah pagi hari yang sa­ma, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Yusoff didakwa semula terhadap tuduhan itu selepas mengetepikan pengakuan bersalah dan denda RM600 yang diputuskan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menggunakan kuasanya menyemak keputusan tersebut dan mengarahkan Yusoff hadir di hadapan majistret berlainan, hari ini.