Hakim Rasyihah Ghazali menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar keterangan Watie atau nama sebenarnya, Norwati Sadali, 41, yang memaklumkan bahawa dia hanya mampu membayar RM2,500 sebulan kepada Hana atau nama sebenarnya, Norhanasafiza Mat Adnan, 39.

“Itu sahaja jumlah yang saya mampu bayar berdasarkan pendapatan bulanan yang diterima. Paling tinggi yang saya mampu bayar adalah RM2,500, saya bercakap daripada kemampuan saya.

“Saya pun tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang, sebab kerja saya tidak menentu, perkara ini juga boleh menjejaskan kerjaya saya, bila terjejas macam mana saya hendak cari duit untuk bayar hutang,” katanya yang tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Watie dalam kete­rangan memberitahu, pendapatannya pada tahun 2015 ha­nyalah RM69,610 manakala pada 2016 berjumlah RM34,200 dan bagi tahun 2017 pula dari Januari hingga Jun, dia hanya mendapat RM2,500 yang telah dimasukkan ke dalam akaun.

“Pada tahun ini, saya telah menerima bayaran RM36,000 daripada 40 episod drama yang saya lakonkan bagaimanapun jumlah tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaun bank kerana saya menerimanya secara tunai.

“Untuk drama tersebut saya menerima bayaran harian seba­nyak RM900. Pendapatan saya tidak menentu, kadang-kadang saya mendapat RM5,000 hingga RM12,000 sebulan tengok apa yang saya peroleh. Sekarang saya hanya berlakon drama, tiada pendapatan lain,” katanya yang turut mengemukakan penyata bank dan beberapa resit bayaran per­belanjaan.

Pelakon itu mengakui bahawa dia mempunyai komitmen bayaran bulanan antaranya bayaran ansuran kereta, sewa rumah, insurans keluarga, bil-bil utiliti dan perbelanjaan harian.

Saman penghutang penghakiman itu dikeluarkan selepas Hana menang dalam kes samannya terhadap Watie pada 10 Mac 2015 dan diberikan ganti rugi berjumlah RM707,351.83 setakat 18 Mei tahun ini namun Watie gagal menjelaskan ganti rugi tersebut sehingga kini.

Hana sebelum ini memfailkan saman terhadap Watie ekoran kegagalan rakan artisnya itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya (Hana) untuk membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

Akibat kejadian itu, Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2013 dan perkara tersebut tersebar di blog sehingga mendatangkan malu kepadanya. Dia juga mendakwa mengalami tekanan dan kejadian itu memberikan kesan negatif kepada kariernya.