Dalam tuntutan yang disifatkan pertama kali dilakukan seorang wartawan terhadap ketua kerajaan negeri di negara ini, wartawan kanan Guang Ming Daily, Ong Beng Siang, 40, me­nyaman Guan Eng berhubung satu status di laman sosial Facebook beliau yang dimuat naik pada Januari lalu.

Dalam status Facebook berbahasa Mandarin itu, Guan Eng mendakwa mengetahui wujud­nya wartawan yang ingin memburuk-burukkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan jika ingin menggulingkan kerajaan sepatutnya dibuat secara berfakta, bukannya menerusi laporan tidak berasas.

Status beliau pada 22 Januari itu turut disertakan dengan artikel yang ditulis oleh Beng Siang mengenai penafian Lembaga Pe­ngarah sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina berhubung isu pembinaan sekolah di negeri ini.

Tuntutan saman itu difailkan melalui firma guaman, Te­tuan Baljit Singh & Company di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Beng Siang yang sudah 23 tahun menjadi wartawan mendakwa Guan Eng memfitnahnya me­lalui status laman Facebook tersebut.

Beliau selaku plaintif mendakwa, status itu bertujuan merosakkan reputasi dan mencemarkan namanya sebagai seorang wartawan di khalayak ramai. 

Malah, beliau mendakwa Guan Eng yang dinamakan sebagai defendan membuat dan membenarkan penerbitan per­nyataan fitnah tersebut tanpa mendapatkan sebarang penjelasan daripadanya.

Sehubungan itu, plaintif me­nuntut ganti rugi am ke atas fitnah, ganti rugi teladan dan teruk daripada Guan Eng mengikut satu jumlah yang akan ditafsirkan oleh mahkamah.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas memfailkan tuntutan saman tersebut, Beng Siang berkata, beliau bertindak memfailkan saman fitnah itu kerana mahu membersihkan nama­nya dan mempertahankan reputasi kerjayanya sebagai wartawan.

“Tindakan saman ini juga sebagai melindungi reputasi kerjaya wartawan lain keseluruhannya khususnya di negeri ini,” katanya yang diwakili peguam, Baljit Singh.