Bekas jurubank, Ng Ee Fang didakwa memperoleh satu juta unit saham Hirotako Holdings Berhad (Hirotako) dengan menggunakan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) milik suaminya, Daniel Yong Chen-I menggunakan maklumat berhubung cadangan tawaran pengambilalihan daripada MBM Resources Berhad yang merupakan bukan maklumat umum dan mempunyai kesan terhadap harga atau nilai saham terlibat.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Zainal L. Salleh dan Datuk Habibah Mohamed Yusof, wanita warga Singapura itu yang hadir dengan bertopang ketiak didakwa melakukan perbuatan tersebut di antara 14 dan 20 Oktober 2011 di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini.

Pertuduhan terhadap tertuduh itu dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC), Arif Adnan Zain mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 188(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM1 juta.

Ahli perniagaan, Chen-I, 47, yang merupakan warga tempatan pula didakwa di hadapan Hakim Azman Ahmad atas tuduhan membenarkan akaun depositorinya digunakan oleh isterinya bagi memperoleh kesemua saham syarikat Hirotako pada 17 Oktober 2011 di tempat yang sama.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, V. Shoba mengikut Seksyen 29A Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 51 akta serupa yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, seorang bekas pegawai bank warga tempatan, Tan Giap How, 63, pula didakwa di hadapan Hakim Hasbullah Adam sebagai individu yang mempunyai maklumat dalaman mengenai rancangan pengambilalihan tersebut yang boleh memberi kesan kepada harga saham Hirotako telah memberitahu perkara tersebut kepada Ee Fang sedangkan ia bukanlah satu maklumat umum.

Pertuduhan terhadap lelaki yang kini menganggur sejak empat tahun lalu dibuat mengikut Seksyen 188(3)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 188(4) akta serupa.

Mahkamah membenarkan Ee Fang dan Chen-I yang diwakili peguam, Datuk Tan Hock Chuan dibebaskan dengan jaminan berjumlah RM800,000 berserta seorang penjamin warga tempatan dan mereka juga diperintahkan untuk melapor diri kepada pegawai penyiasat kes itu setiap bulan.

Giap How yang diwakili peguam S. Ramesh turut dibenarkan diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan diperintahkan agar menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kesemua kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 16 April ini dan pihak pendakwaan dijangka mengemukakan permohonan agar kesemua kes dibicarakan bersama.