CHAUNDRY SALMAN JAVED (kanan) didenda RM151,500 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki bagi membekalkan 23,113 pelbagai barangan sukan jenama tiruan, Jun lalu. - UTUSAN ONLINE.


Hakim Manira Mohd. Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Chaudry Salman Javed, 31, warga Pakistan selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dilakukan di sebuah premis, Apartment Plaza GM, Lorong Haji Taib 5, di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 21 Jun lalu.


Bagi ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki untuk membekalkan 10,855 jersi, 651 seluar, 5,020 stokin dan 145 pad tulang kering (shin pad) yang kesemuanya berjenama Adidas. Selain jenama tersebut, dia juga memiliki 5,842 baju dan 225 seluar jenama Nike dan 375 jersi jenama Puma yang menggunakan cap dagangan palsu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(B) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan cap dagangan palsu atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.


Bagi kesalahan yang kedua atau seterusnya, didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang yang diletakkan cap dagangan palsu atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya.


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM103,500 atau penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama iaitu melibatkan pembekalan barangan Adidas; Nike pula, tertuduh didenda RM40,500 atau penjara lima bulan dan pertuduhan berkaitan jersi Puma, dia didenda RM7,500 atau penjara empat bulan.


Terdahulu, Timbalan-timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Nurul Azrina Mohamed dan Alison Chan memohon hukuman berat kerana jumlah barangan tiruan terlibat begitu banyak bagi membanteras amalan perniagaan tidak beretika yang mencacatkan pertumbuhan ekonomi negara.


“Saya berharap tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam kerana pihak Adidas, Puma dan Nike telah berbelanja besar bagi mempromosikan barangan mereka selain terpaksa menanggung kerugian yang tinggi,” katanya.


Peguam, Tharam Jit Singh yang mewakili Chaudry memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya telah menutup perniagaannya itu sehingga mengalami kerugian hampir RM400,000 selepas barangan sukan tiruan jualannya dirampas selain perlu menanggung isteri, anak berusia empat tahun dan ibu bapanya yang sudah tua.


“Tertuduh juga telah insaf dan berjanji untuk mendapatkan nasihat daripada pihak tertentu sebelum memulakan sesuatu perniagaan agar tidak melanggar undang-undang,” katanya. - UTUSAN ONLINE