Judith Ejigini, 28, yang juga bekas pelajar kolej swasta membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noradura Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Judith selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa sebagai pemilik seekor anjing gagal mengambil langkah sewajarnya untuk memenuhi keperluan haiwan peliharaannya kepada persekitaran sesuai di No. 3A, Tingkat 16, Blok 1 Zeta Deskye @ Kondominum Alam Saujana, Jalan Ipoh, di sini pada pukul 6.42 petang, 22 Februari 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 24(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM15,000 dan maksimum RM75,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 13 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, wanita tersebut gagal memastikan anjing peliharaannya berada dalam persekitaran selamat sehingga mengakibatkan anjing mati selepas terjatuh dari kediamannya di tingkat 16 sebuah kondominium. - UTUSAN ONLINE