Tertuduh, Dwi Pratwanto, 30, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi suapan wang RM3,000 kepada Koperal Mohd. Shahril Jeli sebagai dorongan dia tidak dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong yang menjatuhkan hukuman tersebut turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya Dwi gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Sehenti, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu pada pukul 2.15 petang, Selasa lalu.

Dwi didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Mohd. Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.