Sammy Hasanin, 30, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah menggunakan MyKad palsu atas nama Julhasri Hassan sebagai pengenalan dirinya di sebuah premis, di Jalan 6/38D, Taman Seri Sinar Segambut, di sini kira-kira pukul 2 pagi, 28 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman memerintahkan tertuduh yang berasal dari Basilan, Filipina itu menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkap pada hari kejadian.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Nerdan Nukran memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran namun Sammy yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia perlu menanggung isteri dan dua anak masih kecil.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota dari JPN telah menjalankan pemeriksaan dokumen di tempat kejadian, dan telah menangkap tertuduh yang disyaki menggunakan MyKad palsu sebagai pengenalan diri.

Semakan rekod kad pengenalan diri di jabatan JPN mendapati nombor kad pengenalan itu tidak wujud dan tidak pernah dikeluarkan oleh jabatan tersebut, siasatan lanjut mendapati tertuduh tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri semasa ditahan.-UTUSAN ONLINE