Tertuduh Ab. Ralim @ Mat Dehan Mat, 74, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa menerima suapan berjumlah RM210,000 melalui akaun Maybank atas nama Kota Saksi Holdings Sdn. Bhd. dan Beras Idaman Semenanjung (M) Sdn. Bhd. daripada Pengarah Syarikat Thai Hong Chan (K.L) Sdn. Bhd., Ter Thian Tin, 43.

Suapan itu didakwa sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan kuota beras ST15 seba­nyak 600 tan metrik/bulan Jun Julai dan Ogos daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Jalan Pasar Pudu antara 12 Jun hingga 18 Ogos 2015.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), Michael Joimin mencadangkan ikat jamin RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan peguam bela tertuduh, Melissa Shukri tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dan menetapkan 17 April ini untuk sebutan kes yang mana kes itu akan disebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama dengan kes sebelum ini.

Isnin lalu, Ab. Ralim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM60,000 daripada syarikat sama untuk mendapat kuota beras.