Mahkamah Majistret di sini hari ini memutuskan tertuduh, Delowar Hassan, 27, dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun berserta cagaran RM5,000 dengan dua penjamin selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Majistret A. [email protected] Acho memutuskan demikian mengikut Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah setelah mempertimbangkan fakta kes dan rayuan tertuduh di hadapan mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Delowar didakwa memiliki barangan dilarang iaitu 1,272 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM128.76 dengan membabitkan duti import sebanyak RM254.40.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan di sebuah premis beralamat di No. 18, Jalan Seroja 6, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada pukul 8 malam, 16 Januari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v) akta sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Muhammad Khairul Farhan Mohd. Rakbi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira peruntukkan undang-undang di bawah Akta Kastam 1967.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam pula merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana hanya memperoleh pendapatan RM1,600 sebulan sebagai pekerja kedai runcit selain mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak di Bangladesh. - UTUSAN ONLINE