Nor Farah Farhan Abdul Fattah , 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan, wanita yang tidak bekerja itu didakwa menyalahgunakan wang tunai sebanyak RM11,680 milik isteri Aziz, Puteri Salbainun Lokman, 29, bagi pembelian pakej pelancongan ke Korea Selatan bertarikh 23 hingga 27 Disember tahun lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No. 1 Jalan 2 Casabella, Jalan Teknologi 3/11, Kota Damansara dekat sini, pada 5 dan 14 Disember 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menyalahgunakan wang tunai RM15,000 milik Sarifa Shaari, 56, untuk pembayaran percutian ke Maghribi dan Sepanyol antara 10 Oktober dan 21 Oktober 2017.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank Cimb, Kelana Jaya dekat sini pada 19 Disember 2017.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda. -UTUSAN ONLINE