Nor Farah Farhan Abdul Fattah, 36, me­ngaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita yang tidak bekerja itu didakwa menyalahgunakan wang tunai sebanyak RM11,680 milik isteri Aziz, Puteri Salbainun Lokman, 29, untuk pembeli­an pakej pelancongan ke Korea Selatan bertarikh 23 hingga 27 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Sarida Shaari, 56, membabitkan jumlah RM15,500 untuk pembaya­ran pembelian pakej percutian ke Maghribi dan Sepanyol antara 10 Oktober dan 21 Oktober 2017.

Pertuduhan pertama didakwa dilakukan tertuduh di No. 1, Jalan 2 Casabella, Jalan Teknologi 3/11, Kota Damansara dekat sini antara 5 dan 14 Disember 2017 manakala pertuduhan kedua di Bank CIMB, Kelana Jaya dekat sini pada 19 Disember tahun lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda.

Mahkamah kemudian membenarkan Nor Farah Farhan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Nor Ariffin menetapkan 9 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.