Norhemira Juliana Abd. Rashid, 30, yang juga seorang ahli perniagaan didakwa memperdayakan Muhammad Hafifuddin Abdul Rahman, 26, untuk mempercayai bahawa syarikatnya, Empayar Dahlia Holding Sdn. Bhd. telah mendapat tender membekal baju celoreng digital kepada Kementerian Pertahanan dan memerlukan suntikan modal.

Akibat diperdaya, mangsa telah mendepositkan wang berjumlah RM729,950 secara berperingkat ke dalam akaun milik tertuduh di beberapa cawangan Maybank sekitar ibu kota, Selangor dan Pulau Pinang di antara 3 September 2015 dan 24 Mac 2016.

Pertuduhan ke atas wanita terbabit dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamalluddin mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM120,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh namun dibantah oleh peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili wanita tersebut dengan memohon jumlah yang lebih rendah.

Hakim Azman Ahmad kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM65,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan turut mengarahkan agar pasport wanita itu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain menetapkan sebutan semula kes pada 11 Julai ini.