Melihat bidang ini mampu memberi masa depan yang cerah melalui perniagaan, Ma Choy Peng bersetuju membayar RM10,000 daripada jumlah 
yuran keseluruhan sebanyak RM20,000 kepada sebuah pusat kecantikan sebagai bayaran pendahuluan untuk mengikuti kursus kosmetik yang ditawarkan selama enam bulan.

Bagaimanapun, tidak sampai dua minggu kursus berlangsung, Choy Peng membuat keputusan membatalkan hasratnya meneruskan sesi pembelajaran tersebut setelah mendakwa tertipu.

Ujarnya, dia menyangka kursus tersebut memfokuskan teknik-teknik kecantikan kulit wajah, sebaliknya pembelajaran mengenai kemahiran kecantikan yang diberikan bersifat asas melibatkan keseluruhan aspek tubuh badan.

Berikutan itu, wanita terbabit kemudian membawa kes berkenaan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di ibu negara dan didengar oleh Presidennya, Bernard John Kanny baru-baru ini.

Pada prosiding tersebut, wakil pusat kecantikan itu menegaskan Choy Peng telah menandatangani surat perjanjian yang menyatakan persetujuannya terhadap semua syarat yang 
terkandung.

“Choy Peng telah mengikuti kursus selama 14 hari bermula dari 16 hingga 29 Mac. Kelas dijalankan sebanyak dua kali seminggu dan tiga jam setiap sesi,” kata wakil tersebut.

Sebelum itu, seorang saksi yang dibawa syarikat itu memberitahu, surat perjanjian yang ditandatangani telah menjelaskan secara terperinci tentang kursus yang ditawarkan dan Choy Peng telah mengikuti kursus sepanjang tarikh itu sebelum menghantar surat menarik diri dan menuntut wangnya kembali.

Selepas menangguhkan prosiding kira-kira sejam, John Kanny kemudian memerintahkan pusat kecantikan tersebut memulangkan kembali bayaran sebanyak RM7,320 kepada Choy Peng dalam tempoh 14 hari dari tempoh perintah itu dikeluarkan.