Majistret Nurulhuda Zakariya menjatuhi hukuman itu terhadap Liew Yoke Peng, 43, seorang akauntan, setelah dia didapati bersalah menghina mahkamah dengan menjerit dan mengingkari arahan Nurulhuda supaya senyap ketika prosiding mahkamah sedang berlangsung.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini. Dia kemudiannya dibawa ke Penjara Kajang.

Yoke Peng melakukan kesalahan itu di dalam bilik bicara Mahkamah Majistret 2, di sini pada 11.35 pagi, hari ini mengikut Perkara 26 Jadual Ketiga (Seksyen 99A) Akta Mahkamah Rendah 1947 yang membawa hukuman denda maksimum RM150 atau penjara maksimum tiga minggu.

Kesalahan itu dilakukan semasa prosiding kesnya berhubung kejadian memarahi seorang penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sebuah kawasan parkir di Bandar Puteri Puchong.

Semasa prosiding itu, Yoke Peng telah meninggikan suaranya terhadap Nurulhuda dan seolah-olah berlawan cakap dengannya sehingga dia terpaksa ditenangkan oleh anggota polis.

Berang dengan tindakan polis itu, wanita berkenaan bertindak menggigit tangan seorang anggota polis wanita sehingga luka dan tercabut butang pakaian seragamnya di bahagian lengan.

Mahkamah kemudiannya terpaksa menangguhkan prosiding kesnya ke sesi petang kerana wanita itu tidak dapat dikawal.

Sebelum menjatuhi hukuman, Nurulhuda menasihati tertuduh supaya bersikap profesional dan mematuhi peraturan di dalam mahkamah.

“Semua yang ada di dalam mahkamah ini menjalankan tugas masing-masing, termasuk saya dan anggota polis. Kamu tidak boleh sesuka hati menghina kerja kami,” kata Majistret itu.

Suami tertuduh merayu kepada mahkamah supaya meringankan hukuman terhadap isterinya atas alasan dia gagal meyakinkan wanita itu untuk mendengar arahan mahkamah.

Terdahulu, Yoke Peng yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu seorang penguat kuasa MPSJ di sebuah kawasan parkir di Bandar Puteri Puchong pada 1 tengah hari  6 September lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Insiden itu mula tular di media sosial di mana sebuah video berdurasi satu minit dan 37 saat menunjukkan wanita itu memarahi anggota penguat kuasa MPSJ  sambil mengacukan ‘pengunci stereng’ dan wanita itu dilihat meninggikan lagi suaranya dan menjawab bahawa dia tidak mempunyai tempat lain untuk meletakkan kenderaannya kerana dia terpaksa membeli makanan untuk suaminya, seorang orang kurang upaya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan pasport diserahkan ke mahkamah.

Mahkamah membenarkan tertuduh dikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon oleh Abu Arsalnaa dan menetapkan 24 November untuk sebutan semula kes. ― Bernama