Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pasukan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas untuk melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pekan itu dan akan mengemukakan semula pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mohd. Nazlan dalam keputusannya berkata, pihak pendakwa raya mempunyai kuasa untuk meneruskan atau menolak sesuatu pendakwaan pada mana-mana peringkat.

"Berdasarkan permohonan pihak pendakwa raya, mahkamah  memerintahkan supaya tertuduh dalam kes ini dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan tambahan yang dihadapi," katanya.

Pada 28 Januari lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang  keseluruhan berjumlah RM47 juta yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam tiga akaun miliknya.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di di AmIslamic Bank Berhad Bangunan Ambank Group, No. 55 Jalan Raja Chulan di sini pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaian Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun. - UTUSAN ONLINE.