Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Balia Yusof Wahi membuat keputusan sebulat suara selepas bersetuju dengan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Oktober tahun lalu.

Hakim Balia ketika menyampaikan keputusan dalam rayuan oleh Dr. Azwira Abdul Aziz, 46, turut menyatakan para pensyarah dan ahli akademik sepatutnya menumpukan perhatian mereka terhadap kebajikan penuntut masing-masing.

Panel tersebut yang turut dianggotai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Vernon Ong Lam Kiat menolak rayuan itu dengan kos RM10,000.

Azwira yang kini bertugas sebagai pensyarah di Pusat Citra Universiti UKM diwakili peguam, Adenan Seman manakala bekas Penolong Pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras, ILIM, Zamihan Mat Zin diwakili peguam-peguam Azmi Rais, Ilyani Noor Khuszairy dan Zulkifli Che Yong.

Pada 11 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Halijah Abbas menolak saman malu RM1 juta oleh Azwira yang juga Ahli Majlis Fatwa Perlis ke atas Zamihan yang kini merupakan Penolong Setiausaha di Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya.

Beliau memutuskan demikian selepas pensyarah terbabit gagal membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian bagi elemen fitnah sebagaimana yang didakwanya.

Azwira pada 18 Jun 2009 memfailkan saman terhadap Zamihan atas dakwaan defendan telah mengeluarkan kenyataan fitnah yang mengaitkannya dengan fahaman Wahabi dalam blog defendan, www.al-ghari.blogspot.com.

Dalam pernyataan tuntutannya, Azwira mendakwa, Zamihan menerbitkan satu artikel bertajuk ‘Kisah Lama dari UKM’ di blog berkenaan pada 6 Mac 2008, yang mengandungi kenyataan mengaitkan beliau dengan fahaman Wahabi yang didakwa tidak benar dan berunsur fitnah.

Menurutnya, perkataan-perkataan dalam artikel terbabit antara lain membawa maksud, beliau adalah seorang yang berfahaman Salafi Al-Wahhabi dan amat taksub terhadap fahaman itu serta seorang yang membawa ajaran sesat.

Azwira mendakwa, penerbitan artikel itu telah menjatuhkan maruahnya di sisi umum khususnya kepada masyarakat beragama Islam.