Wan Shaharuddin Wan Ladin

Harapan mangsa yang terkena VX (Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methyl­phonothiolate) untuk terus hidup juga amat tipis kerana bahan tersebut boleh menyebabkan komplikasi dalam masa yang singkat.

Menurut Juruperunding Ka­nan dan Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Mohd. Shah Mahmood, jika dibuat perbandingan antara mata dengan muka, kadar serapan racun itu didapati lebih cepat melalui cecair membran mata.

Saksi pendakwaan keenam itu ketika menyambung keterangannya dalam perbicaraan kes bunuh Jong-nam di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, hasil pengesahan daripada Jabatan Kimia Malaysia menunjukkan, mangsa mengalami komplikasi akibat keracunan VX yang boleh menyebabkan kematian.

“Komplikasi yang dialami mangsa menyebabkan kegagalan pada sistem pernafasan boleh mengakibatkan kematian dan menurut maklumat pegawai penyiasat kes tersebut, kematian berlaku dalam masa yang singkat,” katanya ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Bicara dan Rayuan, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Mohd Shah Mahmood
Mohd Shah Mahmood

VX menurut Mohd. Shah adalah racun yang paling berbahaya dalam kalangan agen saraf kerana apabila bahan itu masuk ke dalam tubuh manusia akan menghalang fungsi enzim cholinistrase sehingga memberhentikan tindak balas bagi signal saraf dan akan mengganggu fungsi-fungsi dalam badan termasuk otot.

Semasa mayat Jong-nam dibedah siasat, keadaan anak mata mangsa tidak dapat diperhatikan lagi kerana selaput matanya telah bertukar menjadi pudar sehinggakan tidak dapat menilai saiz anak mata.

Berdasarkan bedah siasat, tiada tanda-tanda yang menunjukkan serangan sakit jantung pada salur darah jantung yang diperiksa (selain) hanya menunjukkan tersumbat dengan lemak kolestrol antara 25-50 peratus, ujar saksi.

Mohd. Shah menambah, jika lebih daripada 70 peratus, boleh diambil kira kebarangkalian adanya serangan sakit jantung.

“Jika tanpa laporan kimia, saya tidak boleh secara pasti merumuskan Jong-nam mati disebabkan keracunan VX. Berdasarkan laporan kimia, VX ma­suk melalui muka, mata, darah dan air kencing.

“Simptom-simptom yang ada itu secara amnya boleh disebabkan oleh keracunan bahan kimia dalam kumpulan organophosphate (OP) melalui ujian makmal dan Jabatan Kimia boleh menentukan dengan pasti jenis racun yang terkena pada Jong-nam,” kata saksi pakar tersebut.

Sesi prosiding sebelah pagi turut ditangguhkan seketika pada pukul 11.30 pagi bagi membolehkan barisan peguam bela mewakili tertuduh warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, untuk mendapatkan penerangan daripada Mohd. Shah berhubung bahan bukti terdiri daripada sampel-sampel yang diambil daripada mangsa.

Ketika prosiding itu diteruskan kira-kira 25 minit kemudian dengan sampul surat yang me­ngandungi sampel tersebut dikemukakan kepada mahkamah untuk penan­daan bahan bukti perbicaraan, barisan pendakwaan dan Hakim Datuk Azmi Ariffin dilihat memakai topeng muka.

Siti Aisyah dan Thi Huong menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana didakwa membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat lagi yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pada peringkat pemeriksaan balas oleh peguam Gooi Soon Seng mewakili Siti Aisyah, beliau bertanya kepada saksi mengenai kehadiran enam jenis ubat yang dikesan dalam spesimen darah mangsa.

Pakar berkenaan berkata, kehadiran ubat-ubatan misalnya amlodipine bagi sakit darah tinggi, allopurinol untuk sakit sendi atau gout, metformin bagi ken­cing manis, salicylic acid untuk ubat kulit, sildenafil (viagra) bagi mati pucuk dan valsartan untuk darah tinggi dan kegagalan jantung bagaimanapun tidak akan menyebabkan Jong-nam meninggal dunia.